Friday, 5 October 2012

SYARAT - SYARAT WUDHUK



Syarat Wajib Wudhuk

1. Islam.

2. Baligh.

3. Berakal.

4. Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi.

5. Berlakunya hadas.

6. Suci daripada haid dan nifas.

7. Kesempitan waktu. Wudhuk tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang 
tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu.


Syarat Sah Wudhuk

1. Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga tiada bahagian yang tertinggal.

2. Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wudhuk.

3. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhuk seperti darah haidh, nifas, air kencing dan seumpamanya.

4. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadath seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.






Wednesday, 3 October 2012

PENGENALAN



Pengertian Wudhuk

Dari segi bahasa: Wudhuk ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu.

Dari segi syarak: Wudhuk bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

Hukum Wudhuk

Hukum-hukum wudhuk adalah seperti berikut:
  • Wajib atau Fardhu: iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Qur’an dan sebagainya.

  • Sunat: Banyak perkara yang disunatkan berwudhuk, antaranya ialah untuk membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca atau mendengar bacaan hadith, membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh, melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di ‘Arafah, melakukan sa‘i, menziarahi makam Rasulullah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk dan memperbaharui wudhuk.




“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu akan mendirikan solat maka basuhlah muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga siku-siku kamu dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke kedua mata kaki!” (Surah al-Ma’idah, 5: 6)